11 Mei 2011

Abah...

Abah...apa yang Cik Lah tahu, ingat ataupun kenal tentang diri Abah? Malu untuk Cik Lah katakan..sebenarnya hanya sedikit..mungkin hanya sekelumit sahaja.... Dan mungkin Cik Lah tak tahu apa-apa langsung tentang Abah.

Cik Lah tak berkesempatan mengenali Abah secara dekat...dan sebetulnya Cik Lah tak pernah ambil kesempatan mengenali Abah. Apa yang akan Cik Lah catatkan di sini hanyalah dari apa yang Cik Sham ceritakan..juga dari pemerhatian Cik Lah...

Abah seorang yang amat tegas dan berdisiplin. Bersesuaian dengan kerjaya Abah sebagai gurubesar. Apatah lagi punya anak yang seramai 13 orang. Berbeza dengan Emak yang penuh dengan kasih sayang...tapi Abah menunjukkan kasih sayang dengan cara berbeza. Ya...Emak dan Abah amat berbeza- tapi itulah yang melengkapkan mereka. Itulah juga yang meneutralkan keluarga Tuan Haji Mohd Din, sehingga dianugerahkan sebagai Keluarga Contoh. Cik Lah tak pasti pada tahun berapa..sijil tersebut hilang entah kemana... Waktu makan, tempat di meja makan, malah pinggan dan cawan Abah telah ditetapkan. Emak akan duduk di sebelah Abah hingga Abah habis makan. Selepas makan selalunya Abah akan masuk ke bilik bacaan. Menurut Cik Sham itu adalah bilik peribadi Abah..tiada sesiapa pun dibenarkan mengusik barang-barang Abah.

Di situlah Abah menulis surat untuk anak-anak Abah, misalnya ada kelahiran cucu, pertunangan ataupun untuk mengingatkan anak-anak pulang hujung minggu. Setiap apa yang berlaku Abah akan catatkan. Abah akan tulis 13 pucuk surat...untuk semua anak-anaknya. Cik Lah pernah terima surat dari Abah. Kandungan surat tersebut adalah untuk memberitahu tentang pertunangan Cik Lah dan Cik Sham. Tentang tempoh pertunangan dan pemergian Cik Sham ke London. Malangnya surat tersebut hilang dalam simpanan..
Surat ke dua Cik Lah terima adalah tentang Cik Sham yang akan pulang dari London dan tentang perancangan majlis perkahwinan. Bayangkan..Abah menulis 13 pucuk surat (14 termasuk Cik Lah) dengan isi yang sama. Di sini boleh kita tahu Abah adalah seorang yang amat berdisiplin and very organize person.

Walaupun Abah tegas, terserlah the other side of Abah bila Abah bersama cucu-cucunya. Kata Cik Sham, Abah amat garang dengan anak-anak; tapi tidak dengan cucu-cucunya. Abah amat suka kanak-kanak. Segarang-garang Abah; Abah masih membenarkan hiburan. Anak-anak dibenarkan ke fun fair. Abah juga suka lagu-lagu Melayu asli/klasik. Abah hanya garang bila anak-anak melanggar perintah Abah...misalnya curi-curi mandi sungai.. (ini Cik Sham dan Pak Busu). Hmm..banyak lagi kenakalan Cik Sham yang menaikkan darah Abah...tapi rasanya Pak Busu lagi nakal yea??

2 minggu selepas berkahwin Cik Lah mengikut Cik Sham ke London. Dan kalau tak salah Cik Lah 3 bulan sebelum pulang ke Malaysia, Abah jatuh sakit; minor stroke. Di situlah segalanya bermula. Menurut Cik Sham, Abah sudah tak seperti dulu. Kesihatan Abah terus merosot sejak dari situ.... (mungkin itu alasan Cik Lah tidak mengenali Abah...)

Abah menjadi pelupa. Kalau anak-anak pun ada yang Abah tak kenal, apatah lagi menantunya Cik Lah. Tapi Abah tak pernah lupa Emak. Cik Lah dapat rasa betapa dalam kasih sayang dan cinta Abah pada Emak. Abah tak boleh berenggang langsung dari Emak. Bila Emak jatuh sakit dan terpaksa dirawat di hospital untuk tempoh sebulan..Abah bagaikan anak ayam kehilangan ibu. Hari-hari memanggil nama Emak. Mencari Emak di setiap penjuru rumah. Bila Emak pulang..Abah mengekori Emak ke mana saja...dan Emak meleteri Abah itu dan ini.. Abah hanya tersengih sahaja..Emak menyuap nasi ke mulut Abah...sesekali Abah menyentuh tangan Emak. Kekadang Emak bising..Hish..asyik nak pegang-pegang pula. Hahhahah..mungkin Abah cuba menyatakan rasa kasih dan cintanya pada Emak.

Bertahun Abah hidup dalam dunianya. Abah tak kenal cucu-cucunya...Neesa, Luqman dan Hannah. Mereka juga tak pernah 'kenal' Abah. Hanya tahu itu Tok Bah... Dari tahun- ke tahun, kesihatan Abah merosot hinggalah pada bulan March 2011 Abah terlantar...tak berupaya bangun. Namun berkat kesabaran kakak-kakak terutamanya Kak Edah, Abah pulih. Itulah yang Cik Lah lihat semasa pulang ke Segamat pada 30/04 - 2/05. Abah dah boleh duduk. Satu kemajuan. Tiba waktu makan, Kak Edah dudukkan Abah atas kerusi roda dan Cik Sham bawa Abah keluar rumah. Cik Lah sekeluarga duduk di bawah bangsal. Abah memanggil Hannah..Hannah pegang tangan Tok Bah..bermain-main di depan Tok Bah. Tok Bah tersenyum dan melambai-lambai Hannah. Itulah kali pertama dan terakhir Cik Lah menyuap makanan ke mulut Abah...dan hanyalah 2 sudu..

8 Mei 2011, 1.00pm ..Cik Sham terima panggilan dari Kak Edah...Abah dah tiada. Rupanya itulah petanda senyuman Abah minggu lepas. Ketika kami semua gembira melihat kesihatan Abah makin pulih..ketika luka di kaki Abah sudah sembuh....ketika Abah sudah mampu duduk. Abah pergi akhirnya... Abah pergi dengan tenang (menurut cerita Fikry)...Abah bagaikan tersedak dan terus menutup mata. Sebutir air mata menitis... Amat mudah dan senang sekali...Alhamdullilah....

Buat anak-anak dan cucu-cucu Abah/Tok Bah...janganlah ralat dan sedih kerana tidak dapat pulang untuk menatap wajah Abah buat kali terakhir. Bayangkan wajah Abah seperti Abah masih sihat dulu...dan sememangnya itulah wajah Abah yang Cik Lah tatap buat kali terakhir. Amat bersih, kemas dan segak. Tidak ada bau yang meloyakan. Tidak ada luka ditubuh badan walaupun seinci. Tidak ada cacat celanya. Tenang setenangnya... Alin- jangan bersedih. Alin amat bertuah; membesar di depan mata Tok Bah dan mungkin juga Alin adalah orang terakhir di mata dan fikiran Tok Bah sebelum Tok Bah hilang ingatan.

Terima kasih Kak Edah..kerana menjaga Abah sebaik-baiknya. Walau bagaimanapun keadaan kesihatan Abah, Kak Edah akan sentiasa memastikan Abah tetap bersih, sentiasa kemas dan berbau wangi. Dengan kudrat yang tak semana Kak Edah akan mengangkat dan memandikan Abah. Pakaikan kemeja, berkain pelikat, rambut kemas disikat dan pipi disapu bedak. Bila rambut Abah panjang, Kak Edah bawa Abah ke kedai gunting di bandar. Sesekali Abah di bawa ke KFC, Mc Donald dan kedai mamak menjamah roti canai. Apa saja kerenah Abah dilayan dengan sabar dan tabah. Tidak pernah sekalipun mendengar suara Kak Edah tinggi gara-gara Abah. Tidak pernah sekalipun Cik Lah melihat Abah tidak terurus walaupun ketika itu Kak Edah baru lepas pembedahan mata. Bukannya Cik Lah menidakkan jagaan kakak-kakak yang lain...cuma Cik Lah rasa Kak Edah lebih banyak berkorban. Apatah lagi hanya Kak Edah yang tinggal paling dekat dengan rumah Abah-hanya di belakang rumah. Malah kalau diikutkan hukum...tanggungjawab menjaga ibu bapa lebih kepada anak lelaki. Yakni jatuh juga kepada menantu perempuan... Dan Cik Lah hanya balik sekali sekala sahaja. Sekadar menjenguk...

Emak...bagaimana keadaan Emak sekarang? Sepanjang perjalanan pulang dari Segamat ke KL Cik Lah menangis...mengenangkan kata-kata Emak.." Macam mana aku nak lupakan Abah? Berpuluh tahun aku hidup dengan dia...? Emak menangis di bahu Cik Lah. Tangisan yang tak mungkin Cik Lah dapat lupakan untuk selama-lamanya. Ketika ini..ketika menaip perkataan-perkataan ini air mata Cik Lah turut mengalir...mengenangkan Emak. Bagaimana tidur Emak sekarang? Bagaimana Emak tempuhi hari-hari tanpa Abah? Siapa lagi yang hendak Emak leteri? Pada siapa lagi hendak Emak tumpukan perhatian?

Masa hayat Abah, Emak tidak cukup tidur kerana menjaga Abah. Emak hilang tenaga kerana menguruskan Abah. Emak hilang selera makan akibat keletihan dan kepenatan. Mungkin sesetengah orang akan berkata; Emak akan tidur lena sekarang. Pada Cik Lah..tidak...separuh jiwanya telah pergi bersama Abah. Itu kesimpulan dari kata-kata Emak; macam mana aku nak lupakan Abah? Lebih 55 tahun Abah dan emak bersama. Mana mungkin Emak dapat melupakan Abah...

Bermula episod baru bagi kita...tanpa Abah dan bagaimana kita dapat menggembirakan Emak. Mampukah kita membahagiakan Emak? Terdayakah kita mengubat kerinduan Emak pada Abah? Mengisi kekosongan dalam diri Emak? Kalau Kak Edah dapat kembali menumpukan perhatian kepada keluarganya, menjaga anak-anak dan suami.. Emak pula bagaimana? Anak-anak Emak semuanya ada kehidupan masing-masing. Pada siapa Emak perlu tumpukan perhatian? Untuk berpuluh tahun Abah adalah pusat tumpuan Emak...bagaimana sekarang..setelah Abah tiada?? Inilah tanggungjawab kita sekarang...menjadikan Emak pusat tumpuan kita...

Dari Nya kita datang..kepada Nya kita kembali. Untuk Abah, Tuan Haji Mohd Din Mohd Shah..semoga tenang di sisi Nya. AlFatihah...

Tiada ulasan: