24 Mac 2010

Tahlil..adab...pakaian...

Hari Sabtu lepas Cik Lah pergi Kenduri Kesyukuran/Tahlil. Walaupun Cik Lah sebenarnya ada programme lain, tapi mengenangkan dah 2 kali Cik Lah terlepas/terlupa setiap kali ada kenduri di rumah kawan baik Cik Lah merangkap keluarga angkat Cik Lah; maka kali ni Cik Lah pergi juga walaupun kepenatan selepas bergegas balik dari Shah Alam (Cik Lah cuba menggunakan bahasa surat....heheheh).

Cik Lah sebenarnya amat ralat sebab selepas berkahwin, hubungan Cik Lah dengan keluarga angkat ini agak renggang dan Cik Lah jarang melawat mereka. Sedangkan bukannya jauh sangat dari rumah Cik Lah. Jangan kata nak menjenguk, nak menelephone (errr..ada ke perkataan ni dalam Bahasa Malaysia baku??) pun amat susah. Memang teruk betul Cik Lah ni....

Berbalik kepada perihal kenduri; semasa di sana Cik Lah telah bertemu ibu-ibu saudara (angkat) yang hampir 13 tahun tak berjumpa. Perkataan pertama mereka..."Amboi...sihat ya amat...". Hehehehhe..mereka semua tak berubah, muka, bentuk badan dan ramah masih seperti dulu. Cuma Cik Lah yang dah berubah. Maka bermulalah sessi soal jawab..... Berapa orang anak, umur berapa, tinggal kat mana......sekian...dan sekian... "Amboiiii...bukannya duduk jauh pun..dekat ja..apasal tak pernah jumpa??" Hheheheh...kena lagi....
Tengah-tengah rancak bersembang.. Mak Ngah mencubit Cik Lah.. "Pantang betul aku nengok ni! Dah tahu kenduri tahlil; nak baca Yassin; apasal ada yang datang pakai jeans, baju ketat... Yang pakai tudung pun sama; yang tak pakai tudung siap tayang rambut blonde..." Sakit kena cubit walaupun bukan salah Cik Lah. Cik Lah pakai jubah dan tudung hitam.

Sememangnya betul apa yang Mak Ngah cakap. Amat tak sesuai memakai jeans, t-shirt, blouse dan tidak bertudung; apatah lagi di majlis Tahlil. "Mungkin dia orang dari pejabat, Mak Ngah. Jadi tak sempat balik tukar baju." Cik Lah cuba meredakan kemarahan Mak Ngah. Cik Lah tahu kalau dilayan pasti panjang lagi leteran/bebelan Mak Ngah. Nasib baik Mak Busu duduk jauh...kalau tidak lagi rancak.

Cik Lah perhatikan di majlis-majlis perkahwinan sekarang ada jemputan datang dengan berpakaian yang amat tidak sesuai dengan majlis. Alangkah manisnya andai yang perempuan memakai baju kurung, kebaya ataupun jubah. Lagi manis dipakai dengan selendang (kepada yang tidak bertudung). Dan yang lelaki memakai baju batik ataupun kemeja polos. Jika menghadiri jamuan harijadi kita boleh pula mengikut tema yang ditetapkan. Ataupun tika menonton teater di Istana Budaya kita boleh mengikut etika berpakaian, apasalahnya jika ke kenduri kendara kita ikut etika yang sama. Apakah patut dicatatkan etika berpakaian di kad undangan? Kalau dikampung undangan yang datang semua boleh berpakaian sopan, cantik, kemas dan bersesuaian dengan majlis; kenapa di bandar bagi golongan yang kononnya terpelajar tidak tahu etika berpakaian?? Adakah kita terlalu moden? Adakah kita sudah lupa adab dan tata susila?? Mungkinkah kita sudah lupa siapa diri kita ataupun sudah hilang jati diri......

Dan mungkinkah pada masa hadapan...di dalam majlis Tahlil; bacaan surah Yassin hanya berkumandang dari radio ataupun 'CD Player'...... Naa'uzibbillah...

Tiada ulasan: